Naib Ketua Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, memberi amaran bahawa sebarang perbincangan mengenai perpindahan mahal seakan-akan menafikan realiti kewangan yang dihadapi kelab-kelab ketika ini.

Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah dikaitkan dengan bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, dan penyerang Tottenham, Harry Kane, dalam jendela perpindahan seterusnya.

Bagaimanapun, wabak novel koronavirus (Covid-19) akan menjejaskan prestasi kewangan kelab, lebih-lebih lagi apabila jendela perpindahan dibuka kelak.

Lantaran, itu Woodward menggesa semua pihak agar lebih bersikap realistik dengan mengatakan bahawa desas-desus mengenai perpindahan lumayan pastinya jauh meleset.

"Semua pihak perlu sedar dengan cabaran yuang terpaksa ditempuhi semua orang dalam bola sepak dan urusan perpindahan musim panas ini berkemungkinan tidak akan berjalan seperti biasa," katanya dalam forum bersama peminat United melalui The Guardian, semalam.




"Seperti biasa, keutamaan kami adalah kejayaan berpasukan. Tetapi kami perlu melihat kesannya di seluruh industri ini termasuk ketika jendela perpindahan termasuk gambaran kewangan yang lebih luas sebelum kami dapat berbicara tentang kembali normal.

"Atas dasar ini, saya tidak dapat menahan diri terhadap spekulasi yang mengaitkan seorang pemain dengan yuran ratusan juta pound pada musim panas ini, ia seolah-olah mengabaikan realiti yang kami sedang hadapi dalam sukan ini."

Saingan EPL yang tertangguh sejak bulan lalu menyaksikan United menduduki tangga kelima selain masih berjuang dalam Liga Europa dan Piala FA.