Pemain ketiga Brighton and Hove Albion disahkan postif koronavirus, demikian disahkan ketua eksekutif kelab itu, Paul Barber.

Kelab Liga Perdana itu pada Mac lalu berkata seorang pemain daripada tiga yang menunjukkan gejala didapati positif.

Kelmarin, Brighton mengesahkan jumlah kes positif itu telah meningkat kepada tiga walaupun peraturan kesihatan dan keselamatan yang ketat, termasuk pemain mengasingkan diri di rumah, sudah dilakukan.

Dengan cakap-cakap mengenai penyambungan musim 2019-20, Barber mengakui peningkatan kes baru dalam kalangan pemain akan mendatangkan kebimbangan buat kesemua kelab yang terlibat.

"Ia satu kebimbangan," katanya kepada Sky Sports News.

"Malangnya kami memiliki pemain ketiga yang positif semalam (Sabtu), jadi dengan segala langkah berjaga-jaga yang kami ambil sepanjang beberapa minggu ini, di mana pemain tidak terlibat langsung dalam sebarang latihan, kami masih memiliki seorang lagi pemain yang positif virus itu.

"Jadi terdapat kebimbangan dan saya fikir adalah normal untuk setiap kelab mempunyai kebimbangan itu.

"Kami mahu memastikan bahawa kami telah melakukan segala-galanya bagi memastikan segala protokol itu diamalkan dan selamat dan terjamin serta mengurangkan risiko semampu kami," katanya.

Brighton berada di tangga ke-15, dua mata daripada zon penyingkiran, sebelum Liga Perdana Inggeris direhatkan Mac lalu.