Arsenal telah mengumumkan bahawa barisan pemain dan kejurulatihan telah mencapai kesepakatan mengenai pemotongan gaji bulan ini.

Pasukan utama termasuk pengurus, Mikel Arteta, dan kakitangannya secara sukarela akan mengurangkan pendapatan tahunan mereka sebanyak 12.5 peratus.

Bayaran tertentu juga akan dilunaskan sekiranya "sasaran khusus" sempena musim akan datang boleh dipenuhi, kata kelab itu.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, The Gunners mengatakan telah ada "perbincangan positif dan membina" di kelab itu berikutan pandemik koronavirus baru (Covid-19) hingga membangkitkan sikap saling menghargai dan keinginan yang kuat oleh pemain dan kakitangan dalam menunjukkan sokongan mereka kepada keluarga Arsenal".

Wakil pemain berkata: "Pengurangan jumlah pendapatan tahunan sebanyak 12.5 peratus akan berkuat kuasa bulan ini dengan dokumen kontrak itu akan diselesaikan beberapa hari lagi.

"Sekiranya kami memenuhi sasaran tertentu pada musim-musim mendatang, terutama berkaitan dengan kejayaan di atas lapangan, maka kelab akan membayar balik jumlah yang dipersetujui. Kami akan dapat menebuspemotongan itu dengan mencapai sasaran yang ditetapkan dan ia boleh mempengaruhi pemain selain bermakna kedudukan kewangan kami akan bertambah mantap.


"Perjanjian ini didasari dengan anggapan bahawa kami akan menghabiskan musim 2019-20 dan menerima pendapatan penyiaran penuh. Penjimatan ini boleh membantu menampung aspek kewangan berkaitan dengan pendapatan hari perlawanan dan komersial kami yang terjejas musim ini.

"Kami bangga dan berterima kasih kepada pemain dan kakitangan kerana bersama-sama menyokong kelab ini, masyarakat dan komuniti kami dalam tempoh yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Ia merupakan antara cabaran paling sukar yang pernah kami hadapi dalam sejarah kelab ini."