WEST HAM 5 HULL CITY 1

David Moyes, Issa Diop dan Josh Cullen, diarahkan meninggalkan Stadium London dengan serta-merta sebelum sepak mula perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) West Ham dengan Hull City sebaik mereka diuji positif COVID-19.


Pengurus Hammers, Moyes, menamakan Diop dan Cullen dalam kesebelasannya bagi perlawanan pusingan ketiga itu awal pagi tadi tetapi ketiga-tiganya telah diarahkan pulang untuk mengasingkan diri sebaik keputusan tersebut diketahui.

Perlawanan itu dimulakan seperti yang dirancang yang menyaksikan Harrison Ashby dan Jack Wilshere menjadi taruhan utama wakil London berkenaan sambil penolong jurulatih, Alan Irvine, mengemudi pasukan.

The Hammers mendahului 3-0 tetapi walaupun ada usaha Hull City untuk merapatkan jurang, tuan rumah menokok dua gol lagi dalam masa kecederaan untuk kemenangan selesa 5-1.

Satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab itu berbunyi: "West Ham United mengesahkan David Moyes, Issa Diop dan Josh Cullen didapati positif COVID-19.

"Pasukan perubatan kelab dimaklumkan mengenai keputusan ujian itu ketika pasukan tersebut berada di Stadium London untuk persiapan pusingan ketiga Piala EFL menentang Hull City malam ini. Pengurus dan kedua-dua pemain terbabit dengan segera meninggalkan stadium dan pulang.

"Ketiga-tiganya tidak bergejala, mereka akan mengikuti garis panduan dan protokol kesihatan yang ditetapkan England dan Liga Perdana (FA).

"Semua orang di West Ham United mengucapkan semoga lekas sembuh buat David, Issa dan Josh.

"Langkah dan protokol kelab untuk COVID-19 tetap ketat. Ini termasuklah tawaran untuk menguji pasukan Hull City sebelum sepak mula malam ini -- namun mereka memilih untuk menolak tawaran itu."

Perlawanan Piala EFL membabitkan Tottenham pula terpaksa dibatalkan selepas Leyton Orient mendedahkan "sejumlah" pemain mereka telah terbukti positif pandemik itu.

Sementara itu, kementerian kesihatan United Kingdom (UK) menangguhkan keputusan untuk membenarkan penyokong daripada menghadiri perlawanan yang membabitkan semua acara sukan susulan peningkatan semula kes di Eropah.