Covid-19: Mourinho mengaku ingkar arahan kerajaan

Oleh Nafis Abdullah 9 April 2020 756
Covid-19: Mourinho mengaku ingkar arahan kerajaan
Jose Mourinho mengakui dia telah melanggar arahan COVID-19 daripada kerajaan Britain apabila mengadakan sesi latihan bersama pemain tengah Tottenham Hotspur, Tanguy Ndombele, kelmarin.

Pengurus Spurs itu dilihat di Hadley Common di utara London sambil mengendalikan sesi memperbaiki kepantasan pemain termahal kelab itu sebelum gambar tersebut tular dalam media sosial.

Arahan daripada kerajaan menyatakan bahawa semua penduduk hanya boleh melakukan senaman dengan isi rumah sahaja.

"Saya mengakui tindakan itu tidak mengikut protokol kerajaan dan kami seharusnya hanya berhubung dengan ahli rumah," katanya.

"Penting untuk kami memainkan peranan dan mengikut nasihat kerajaan dalam usaha menyokong wira dalam NHS dan menyelamatkan nyawa."

Bagaimanapun, Mourinho dilihat menghormati arahan menjaga jarak sosial apabila kekal dengan ukuran minimum dua meter daripada Ndombele walaupun pemain tengah Perancis itu -- yang sebelum ini dikritik oleh bekas pengendali Chelsea dan Manchester United itu -- tidak tinggal serumah dengannya.

Spurs tetap meneruskan latihan secara atas talian ketika penangguhan Liga Perdana Inggeris, berkongsi video menerusi saluran sosial.

Bulan lalu, Mourinho menghulurkan bantuan buat Age UK dan Love Your Door Step dalam menyediakan makanan serta keperluan lain buat golongan berusia yang menjalani proses kuarantin akibat krisis coronavirus.

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen