Liga Perdana Inggeris mengesahkan terdapat satu lagi kes positif Covid-19 dalam ujian saringan terbarunya.

Seramai 2,250 pemain dan pegawai kelab menjalani ujian saringan dari 22 hingga 28 Jun lalu, demikian disahkan liga berkenaan.

Ia bermakna sudah 19 kes positif direkodkan daripada 14,307 ujian yang dijalankan sejak 17 Mei lalu.

Liga Perdana, bagaimanapun, tidak mendedahkan nama kelab atau individu yang dijangkiti itu.

Liga divisyen utama England itu kembali bersambung pada 17 Jun lalu selepas direhatkan selama tiga bulan berikutan pandemik koronavirus.

Saingan musim ini akan ditamatkan pada 26 Julai ini dengan final Piala FA akan mengambil tempat pada 1 Ogos depan.