Legenda Liverpool, Kenny Dalglish, diuji positif Covid-19, demikian disahkan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

The Reds mengeluarkan satu kenyataan daripada keluarga Dalglish, yang mengesahkan bahawa bekas pemain kebangsaan Scotland berusia 69 tahun itu berada di hospital sejak Rabu lalu disebabkan masalah lain, namun tetap menjalani ujian Covid-19.

"Sir Kenny telah dimasukkan ke hospital pada Rabu, 8 April, bagi menjalani rawatan jangkitan kuman yang memerlukan antibiotik intravena," kata kenyataan itu.

"Bagi mengikuti prosedur terbaru yang ditetapkan, dia menjalani ujian Covid-19 walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda-tanda berpenyakit.

"Malangnya, keputusan ujian itu positif walaupun dia tidak bergejala.

"Sebelum dimasukkan ke hospital, Sir Kenny memilih untuk mengasingkan diri secara sukarela lebih lama daripada masa yang disarankan bersama keluarganya. Dia menggesa setiap orang untuk mengikuti garis panduan kerajaan dan pakar yang relevan pada hari-hari dan minggu-minggu mendatang.

"Dia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan NHS, yang berdedikasi, berani dan seluruh negara perlu menumpukan untuk berkorban bagi melalui waktu yang sukar ini.

"Dia juga tidak sabar untuk pulang ke rumah dalam waktu terdekat. Kami akan membeikan maklumat lanjut pada waktu yang sesuai."