Covid-19: Lampard enggan desak pemain Chelsea

Oleh Muzaffar Musa 28 Mac 2020 265
Covid-19: Lampard enggan desak pemain Chelsea
Frank Lampard berkata bahawa dia memilih untuk tidak mendesak pemain Chelsea kendaliannya di sebalik ketidakpastian sama ada musim ini akan diteruskan atau tidak.

Liga Perdana Inggeris tidak akan bersambung sehingga 30 April ini disebabkan pandemik Covid-19 dan ia mungkin akan ditangguhkan untuk tempoh yang lebih lama.

Lampard gusar untuk meminta sesuatu yang lebih daripada pemainnya memandangkan liga berkenaan belum pasti dapat diteruskan.

"Ia sesuatu yang amat sukar pada ketika ini kerana kami tidak ada apa-apa kepastian di depan kami," kata pengurus Chelsea itu menerusi aplikasi The 5th Stand.

"Kita telah melihat betapa cepatnya keadaan berubah, jadi kami hanya boleh bersedia berdasarkan tarikh yang diberikan tetapi setiap hari atau setiap minggu kami bertanya, 'Bagaimana kami hendak berlatih?', 'Bagaimana keadaannya?'

"Perkara yang paling saya mahu elakkan apabila pemain berada di posisi ini ialah mendesak dan terus mendesak mereka tanpa sebarang sebab," katanya.
 
Chelsea berada di tangga keempat sebelum Liga Perdana digantung.

Tetapi bagi Lampard, mesej yang mahu disampaikan kepada pemainnya ketika ini amat ringkas iaitu, "fokus kepada keluarga anda".

"Motivasi boleh diketepikan. Saya fikir motivasi untuk semua orang pada ketika ini adalah bagaimana keadaan keluarga mereka, bagaimana saudara-mara mereka, bagaimana kita melihat dunia di luar dan adakalanya, ia melibatkan kesedaran kita mengenai apa yang lebih penting daripada bola sepak.

"Tidak kira betapa besar rasa sayang kita kepada Chelsea atau betapa bertuahnya kita untuk melakukan tugas ini, ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan di rumah.

"Bagi saya, pesanan untuk pemain saya sentiasa untuk menjaga keluarga anda di rumah," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen