Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sebulat suara memilih untuk kembali berlatih dalam kumpulan kecil esok -- ia memberi isyarat mengenai langkah penting dalam saingan teratas England itu untuk kembali beraksi di sebali, wabak novel koronavirus (Covid-19).

Walaupun terdapat laporan mengenai konflik kepentingan di antara 20 pasukan terlibat mengenai pelbagai aspek yang dikenali sebagai "Projek Permulaan Semula", kesepakatan itu bagaimanpun dicapai hari ini mengenai fasa pertama untuk meneruskan langkah mereka.

Pemain harus menjaga jarak sosial ketika sesi latihan dalam kumpulan kecil sementara latihan melibatkan sentihan masih belum dibenarkan.

"Tahap pertama ini telah disepakati menerusi rundingan bersama pemain, pengurus, doktor kelab Liga Perdana, pakar bebas dan kerajaan. Protokol perubatan yang ketat dengan standard tertinggi akan memastikan semua orang dapat kembali ke sesi latihan dalam suasana yang paling selamat.

"Kesihatan dan kesejahteraan semua pihak adalah keutamaan Liga Perdana, jadi selamat kembali ke latihan sebagai proses berperingkat. Rundingan lengkap akan diteruskan menerusi penglibatan pemain, pengurus, kelab, PFA (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional) dan LMA (Persatuan Pengurus Liga) tatkala protokol latihan yang memerlukan sentuhan akan terus dibincangkan."

Kenyataan Liga Perdana itu tidak menyatakan bahawa pemain dan kakitangan kelab telah membuat saringan ujian Covid-19 sebagai sebahagian daripada protokol perubatan yang ditetapkan.

Namun, Newcastle United dalam satu kenyataan tampil mengesahkan bahawa ia merupakan sebahagian langkah yang ditetapkan sejak kempen EPL terpaksa ditangguhkan susulan jangkitan yang menimpa pengurus Arsenal, Mikel Arteta, Mac lalu.

Pemain Manchester City, Raheem Sterling dalam satu temu bual bersama bintang wanita Amerika Syarikat (AS), Megan Rapinoe, di YouTube semalam menganggap bagi membolehkan perlawanan diadakan, pemain memerlukan persiapan yang rapi sehingga lima minggu memandangkan ini bukan kempen pemanas badan.