Bintang Manchester City, Sergio Aguero, percaya kebanyakan pemain takut untuk kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris disebabkan pandemik Covid-19.

Terdapat laporan bahawa liga divisyen utama England itu dapat bersambung seawal Jun depan selepas ditunda sejak bulan lalu, dengan satu mesyuarat akan diadakan hari ini.

Tetapi Aguero berasakan kebanyakan pemain masih terlalu takut disebabkan krisis Covid-19, yang telah mengorbankan lebih daripada 233,000 mangsa di seluruh dunia.

"Majoriti pemain takut kerana mereka memiliki keluarga, mereka memiliki anak dan mereka memiliki bayi," katanya kepada El Chiringuito TV.

"Apabila kami kembali beraksi, saya dapat bayangkan bahawa kami akan menjadi amat tegang, kami akan menjadi amat berhati-hati dan apabila seseorang jatuh sakit, anda akan fikirkan, 'apa yang sedang berlaku di sana?'

"Ia menakutkan saya," katanya.

United Kingdom antara negara yang terjejas disebabkan pandemik berkenaan dengan lebih daripada 171,000 kes positif direkodkan, termasuk kematian yang telah mencecah angka 26,000.

Penyerang skuad kebangsaan Argentina itu berkata statistik tersebut turut melibatkan orang yang tidak bergejala dan ia mendatangkan kebimbangan.

"Saya amat takut tetapi saya berada bersama teman wanita saya di sini dan saya tidak akan berhubung dengan orang lain.

"Saya mengurungkan diri di rumah dan satu-satunya orang yang boleh saya jangkitkan adalah teman wanita saya.

"Mereka kata ada orang yang tidak mempunyai simptom tetapi masih boleh menjangkiti anda. Sebab itulah saya berada di rumah.

"Mungkin saya ada penyakit dan saya tidak tahu," katanya lagi.

City ketinggalan 25 mata di belakang Liverpool ketika Liga Perdana Inggeris direhatkan dan mereka masih bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.