Covid-19: Hull City sahkan dua kes positif

Oleh Muzaffar Musa 25 Mei 2020 100
Covid-19: Hull City sahkan dua kes positif
Hull City mengesahkan terdapat dua kes positif Covid-19 dalam pasukan Liga Kejuaraan itu.

Liga Bolesepak Inggeris (EFL) mengumumkan semalam bahawa terdapat dua kes positif daripada 1,014 ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas pemain dan pegawai pasukan daripada Liga Kejuaraan.

Hull kemudian mengumumkan kedua-dua pemain berkenaan, yang tidak dinamakan, tiba daripada pasukan East Yorkshire dan akan diasingkan selama seminggu sebelum menjalani ujian kedua.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "Hull City boleh mengesahkan terdapat dua orang telah diuji positif Covid-19 dalam ujian pertama di padang latihan.

"Kerahsiaan perubatan bermakna nama mereka tidak akan didedahkan dan kelab ini meminta agar perkara itu dihormati.

"Kedua-dua pemain itu, yang tidak menunjukkan gejala dan tiada sebarang masalah kesihatan, kini diasingkan untuk tujuh hari -- sejajar dengan protokol yang ditetapkan dalam garis panduan EFL -- sebelum menjalani ujian kedua selepas tarikh itu.

"Kelab ini akan terus memantau rapi mereka yang dijangkiti dan tidak akan memberikan komen lanjut," katanya.
 
Berdasarkan Daily Telegraph, Hull telah menghantar surat kepada Pengerusi EFL, Rick Parry, dan 23 kelab lain dalam Liga Kejuaraan berkenaan kebimbangan mereka mengenai penyambungan semula musim ini pada bulan depan.

Pasukan dalam Liga Kejuaraan sedang bersedia untuk kembali menjalani latihan bermula Isnin ini, berdasarkan protokol spesifik yang dikeluarkan badan penganjur liga berkenaan.

Masih belum jelas sama ada saingan itu akan diteruskan atau tidak.

Tiada sebarang perlawanan dijalankan sejak 8 Mac lalu dengan Hull dilaporkan menjadi pasukan pertama menyuarakan kebimbangan mereka tentang risiko untuk kembali beraksi berdasarkan keadaan terkini pandemik Covid-19.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen