Covid-19: EPL kesan empat lagi kes positif

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Mei 2020 305
 Covid-19: EPL kesan empat lagi kes positif
Empat individu dikesan positif dalam ujian saringan terakhir novel koronavirus (Covid-19) dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Sebanyak 1,008 sampel pemain dan kakitangan diuji pada minggu ini.

Liga Perdana mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa empat orang yang terdiri daripada tiga kelab telah dijangkiti dan mereka diminta untuk mengasingkan diri selama tujuh hari.

Ia menjadikan jumlah individu yang positif dalam kalangan kelab Inggeris meningkat kepada 12 orang.

Pertahanan Watford, Adrian Mariappa; penjaga gol Bournemouth, Aaron Ramsdale dan penolong pengurus Burnley, Ian Woan, antara kes positif yang disahkan sebelum ini.

Bagimanapun, malam tadi kelab sebulat suara untuk menyambung semula latihan mereka minggu ini sebagai sebahagian daripada perancangan untuk mengembalikan saingan itu, mungkin bulan depan. 

Satu kenyataan berbunyi: "Liga Perdana hari ini mengesahkan bahawa pada Isnin, iaitu 25 Mei dan Selasa, 26 Mei, seramai 1008 pemain dan kakitangan kelab disaring bagi Covid-19.

"Daripada jumlah tersebut, empat individu telah diuji positif daripada tiga kelab. Pemain atau kakitangan kelab yang telah diuji positif ini akan mengasingkan diri selama tujuh hari.

"Liga Perdana menyalurkan maklumat ini bagi tujuan integriti dan ketelusan persaingan. Tiada maklumat khusus mengenai kelab atau individu akan didedahkan dan keputusannya akan diumumkan selepas setiap pusingan ujian."

Saingan utama di England itu tertangguh sejak Mac lalu sambil Liverpool mendahului EPL dengan kelebihan 25 mata. 

Bundesliga pula kekal sebagai satu-satunya daripada lima kancah teratas di Eropah yang meneruskan perlawanan sejak pandemik itu melanda. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen