Covid-19: EPL di landasan untuk bersambung bulan depan, kata menteri kebudayaan

Oleh Muzaffar Musa 15 Mei 2020 117
Covid-19: EPL di landasan untuk bersambung bulan depan, kata menteri kebudayaan
Liga Perdana Inggeris (EPL) berada di landasan untuk kembali bersambung bulan depan selepas perbincangan di antara kerajaan dan badan utama bola sepak Inggeris itu berlangsung positif.

Setiausaha kementerian kebudayaan, Oliver Dowden, mendedahkan bahawa mesyuarat dengan Persatuan Bolasepak England (FA) dan Liga Bolasepak England semalam terbukti memberikan penyelesaian.

Liga divisyen utama England itu bersidang sejak awal minggu ini bagi membincangkan mengenai 'Project Restart' dengan 12 Jun depan disasarkan sebagai tarikh untuk menyambung semula saingan berkenaan biarpun dengan secara tertutup disebabkan krisis koronavirus.

Dan setelah perbincangan terbaru di antara pihak berkepentingan utama itu, harapannya tetap ada.

"Kami semua bersetuju bahawa kami hanya akan meneruskannya sekiranya ia selamat untuk diteruskan dan kesihatan dan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai perlu diutamakan," kata Dowden.

"Kerajaan membuka pintu untuk sukan kompeititif seperti bola sepak untuk kembali secara selamat bulan depan.

"Ia termasuk meluaskan akses peminat untuk menyaksikan siaran langsung dan memastikan kewangan daripada penyambungan semula kejohanan ini dapat memberikan sokongan buat keluarga besar bola sepak.

"Ia kini terpulang kepada badan pengelola bola sepak untuk bersetuju dan menyelesaikan perincian rancangan mereka, dan dengan adanya gabungan niat yang baik untuk mencapai matlamat mereka buat peminat, komuniti bola sepak dan negara secara keseluruhannya.

"Kerajaan dan pakar perubatan kami akan terus memberikan bimbingan dan sokongan untuk sukan ini," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen