Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan bahawa tiada sebarang aktiviti sukan di England sekurang-kurangnya hingga satu Jun depan.

Perdana Menteri, Boris Johnson, kelmarin mengumumkan mengenai satu hala tuju yang menjelaskan betapa perintah bekurung di negara itu mungkin dilonggarkan, namun masih tidak menetapkan bila aktiviti sukan profesional akan kembali dibenarkan.

Semalam, Kerajaan UK mengeluarkan satu dokumen panjang yang menggariskan beberapa perkara yang mungkin dapat dilaksanakan pada awal bulan depan sebagai satu langkah untuk menghentikan sekatan berkenaan.

Ia turut menyatakan bahawa salah satu perubahan yang akan bermula pada 1 Jun ini ialah "mengizinkan acara kebudayaan dan sukan berlangsung secara tertutup untuk disiarkan" sambil menghindari risiko kontak sosial dalam skala besar.

Kerajaan UK turut menjelaskan pembukaan venue sukan seperti stadium yang menarik ramai peminat mungkin hanya dapat dilakukan kemudian bergantung kepada penurunan jumlah jangkitan", jadi ia mungkin memerlukan masa yang lebih lama sebelum penonton dibenarkan untuk kembali ke stadium.

Semalam, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) turut mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai 'Project Restart' selepas saingan musim ini ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan krisis Covid-19.

Ia disebut-sebut sebagai minggu paling penting buat bola bola sepak Inggeris berkaitan persoalan sama ada liga divisyen utama itu dan Piala Liga dapat diteruskan atau tidak.

Lembaga Kriket England dan Wales (ECB) mengumumkan pada bulan lalu bahawa tidak akan ada sebarang perlawanan kriket profesional di UK sehingga 1 Julai depan dengan Kejohanan The Hundred turut ditangguhkan ke tahun depan.

Julai depan juga diletakkan sebagai sasaran untuk menyambung semula Kejuaraan Ragbi Perdana musim ini tetapi masih belum ada sebarang tarikh rasmi diumumkan.