Riyad Mahrez dan Aymeric Laporte kedua-duanya disahkan positif ujian koronavirus, demikian disahkan Manchester City.

Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mendedahkan dua pemain itu telah dijangkiti COVID-19 walaupun tiak menunjukkan sebarang gejala dan kini perlu menjalani kuarantin.

EPL musim 2020-21 akan bermula Sabtu ini tetapi City akan memulakan kempen mereka dengan bertemu Wolves pada 21 September depan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "Manchester City mengesahkan bahawa Riyad Mahrez dan Aymeric Laporte diuji positif COVID-19.

"Kedua-dua pemain itu akan dipantau sepanjang proses pengasingan seperti yang ditetapkan dalam protokol Liga Perdana dan Kerajaan UK (United Kingdom). Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang gejala virus berkenaan.

"Semua di kelab ini mendoakan Riyad dan Aymeric segera sembuh menjelang kepulangan mereka ke sesi latihan dan musim baru," katanya.

Tidak lama selepas pengmuman City itu, pemain sayap, Mahrez, menciap dalam Twitter: "Terima kasih di atas pesanan-pesanan yang baik. Saya sihat. Jaga diri semua."