Covid-19: Dua diuji positif dalam EPL 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Mei 2020 286
 Covid-19: Dua diuji positif dalam EPL 
Dua lagi individu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) disahkan positif dalam saringan terakhir wabak novel koronavirus (Covid-19). 

Seramai 996 pemain dan kakitangan kelab diuji untuk mengesan pandemik itu sejak Selasa lalu dengan keputusan positif dicatatkan pelbagai kelab.

Mereka kini akan diminta untuk mengasingkan diri selama tujuh hari.

Penemuan itu menambah kepada bilangan enam orang yang sudah dijangkiti virus berkenaan dalam ujian saringan pertama yang merangkumi 748 orang pada 17-18 Mei lalu. 

Satu kenyataan Liga Perdana berbunyi: "Liga Perdana hari ini mengesahkan bahawa pada Selasa, Khamis dan Jumaat lalu, seramai 996 pemain dan kakitangan kelab telah menjalani ujian saringan . Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya diuji positif yang berpunca daripada dua kelab.

"Pemain atau kakitangan kelab yang telah diuji positif itu kini akan mengasingkan diri selama tujuh hari.

"Untuk pusingan kedua ujian, jumlah ujian yang tersedia untuk setiap kelab meningkat daripada 40 menjadi 50.

"Sebelum itu, 748 pemain dan kakitangan kelab telah diuji pada 17-18 Mei dengan enam kes positif membabitkan tiga kelab.

"Mereka yang positif dalam ujian pertama tidak termasuk dalam angka kes pada 19-22 Mei kerana mereka masih dalam tempoh pengasingan diri selama tujuh hari.

"Liga Perdana menyalurkan maklumat ini bagi tujuan integriti dan ketelusan dalam saingan ini, Tiada perincian khusus mengenai kelab atau individu yang akan didedahkan dan keputusannya akan diumumkan sejurus selesai setiap pusingan ujian."

Pembantu jurulatih Burnley, Ian Woan, dan pemain pertahanan Watford, Adrian Mariappa, disahkan antara enam individu yang positif dalam kumpulan pertama.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen