Kevin De Bruyne percaya pasukan Liga Perdana Inggeris akan dihantui episod kecederaan jika musim 2019-20 disambung serta-merta dan berasakan pembatalan kempen adalah langkah terbaik.

Saingan bola sepak di England ditangguhkan sehingga 30 April ini susulan wabak coronavirus sambil Persekutuan Bolasepak (FA) melaungkan keyakinan untuk melanjutkan musim melebihi tempoh kebiasaan pada 1 Jun.

De Bruyne berada dalam prestasi terbaik di bawah bimbingan Pep Guardiola bersama Manchester City musim ini, meledakkan lapan gol dan mencipta 16 bantuan jaringan dalam liga sebelum mempamerkan aksi cemerlang sewaktu membantu pasukannya menewaskan Real Madrid 2-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu.

Namun, bintang Belgium itu sedia untuk melupakan catatan itu demi kebaikan semua.

"Saya tidak pasti bila kami akan beraksi semula. Kami tidak bermain selama enam minggu," katanya.

"Kebiasaannya, anda memerlukan persiapan sekitar tiga hingga empat minggu. Jika kami menyambung serta-merta, semua orang akan cedera selepas beberapa perlawanan.

"Saya tahu ia melibatkan banyak wang tetapi saya fikir menunggu terlalu lama akan memberi kesan kepada saingan musim depan.

"Ia tidak akan jadi cuti musim panas yang panjang dan anda harus menangguhkan segalanya.

"Saya sedih jika musim ini dihentikan selepas melalui tahun yang baik tetapi jika ia untuk mengelakkan masalah musim depan, ia harus dilakukan."