Covid-19: Chelsea tidak potong gaji, galakkan kerja amal 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 April 2020 90
Covid-19: Chelsea tidak potong gaji, galakkan kerja amal 
Pasukan utama Chelsea telah diminta untuk menyokong program amal dan bukannya menyumbang kepada kelab secara kewangan dalam krisis wabak koronavirus baru (Covid-19).

Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan lebih sebulan akibat pandemik tersebut dan keadaan itu memberi kesan kepada kewangan kelab berikutan kutipan hasil daripada pintu masuk selain pendapatan kejohanan yang lain.

Beberapa kelab memilih untuk memanfaatkan sebahagian besar skim pengekalan pekerjaan yang menyaksikan pihak kerajaan akan menampung 80 peratus daripada gaji pekerja dengan had £2,500 (RM13.480) sebulan.

Namun, tidak seperti kelab yang mengambil skim itu, Norwich City dan Newcastle United, manakala Liverpool, Tottenham dan Bournemouth membuat pusingan 'U'.

Sebagai alternatif untuk menyokong kewangan negara, kebanyakan kelab di seluruh Eropah bersetuju dengan pemotongan atau menangguhkan pembayaran gaji.

Begitupun, Chelsea -- yang dimiliki oleh jutawan Russia, Roman Abramovich -- tidak mengambil kedua-dua langkah itu apabila mengesahkan mereka akan terus membayar gaji kakitangan seperti biasa, sebaliknya pemain telah diarahkan untuk menyokong badan amal, bukannya menyokong kelab berkenaan secara kewangan.

 
Mengenai status gaji pemain, satu kenyataan Chelsea berbunyi: "Wakil ahli lembaga pengarah Chelsea baru-baru ini telah mengadakan perbincangan mendalam bersama pasukan utama lelaki untuk membicarakan bagaimana mereka dapat menyumbang kepada kewangan kelab dalam krisis koronavirus ini. 

"Objektif perbincangan ini adalah untuk mendapatkan maklumat bermakna bagi memastikan kami dapat mengekalkan kakitangan, memberi pampasan kepada peminat dan mengambil bahagian dalam aktiviti untuk tujuan yang baik.

"Kami berterima kasih kepada pasukan kerana telah memainkan peranan mereka dalam membantu kelab dengan aktiviti kemasyarakatan dan juga kerja amal yang telah mereka sokong di negara asal masing-masing dan melalui inisiatif 'Players Together' bagi menyokong Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

"Pada masa ini, pasukan utama lelaki tidak akan menyumbang kepada kelab secara kewangan,sebaliknya lembaga pengarah telah mengarahkan mereka supaya terus memberi fokus kepada usaha mereka dalam menyokong usaha amal-amal yang lain.

"Tatkala krisis ini semakin merebak, kelab akan terus mengadakan perbincangan dengan pasukan utama lelaki mengenai sumbangan kewangan mereka berkaitan aktiviti kelab."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen