Bournemouth mengesahkan seorang pemain daripada kelab itu didapati positif Covid-19.

Liga Perdana Inggeris mengumumkan kelmarin bahawa terdapat dua kes positif daripada kelab berbeza sepanjang ujian saringan kedua Covid-19, yang merangkumi 996 pemain dan pegawai pasukan.

Kerahsiaan perubatan bermakna nama individu berkenaan tidak akan didedahkan dan dia akan menjalani pengasingan selama tujuh hari.

Kelab itu turut menyatakan, berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Liga Perdana Inggeris, pusat latihan mereka masih kekal dengan "suasana kerja selamat".

"Bournemouth mengesahkan terdapat seorang pemain diuji positif Covid-19 berdasarkan ujian saringan kedua kelab ini," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Kerahsiaan perubatan bermakna namanya tidak akan didedahkan dan kelab ini berharap perkara itu dapat dihormati.

"Berdasarkan protokol Liga Perdana Inggeris berkenaan kes positif ujian, dia akan diasingkan selama tujuh hari sebelum menjalani semula ujian itu selepas tarikh berkenaan.

"Berikutan kepatuhan terhadap peraturan latihan Liga Perdana, pusat latihan kelab ini tetap menjadi persekitaran kerja yang selamat buat pemain dan kakitangan, yang akan terus menjalani ujian saringan Covid-19 dua kali seminggu," katanya.

Terdapat enam kes positif daripada ujian saringan pertama yag dijalankan pada 17 dan 18 Mei lalu.

Penolong jurulatih Burnley, Ian Woan, dan pertahanan Watford, Adrian Mariappa, disahkan sebagai sebahagian yang didapati positif.

Liga Perdana Inggeris ditunda sejak Mac lalu berikutan pandemik koronavirus dan disasarkan untuk kembali meneruskan saingan bermula pertengahan bulan depan.

Setiap pasukan sudah mula berlatih dalam kumpulan kecil tanpa sebarang kontak fizikal dibenarkan bagi menjaga penjarakan sosial.

Bagaimanapun, terdepat beberapa pemain yang enggan terlibat bagi mengelakkan risiko kesihatan.