Penaung bola sepak Inggeris memberi amaran mengenai "keputusan sukar" yang akan diumumkan memandangkan liga itu dan kelabnya sedang mencuba untuk mengelakkan krisis kewangan.

Pandemik Covid-19 telah merencatkan aktiviti bola sepak di seluruh England dan ia mungkin terpaksa ditunda lebih lama selepas 30 April ini.

Kelab-kelab berkenaan tidak dapat memungut bayaran tiket yang selama in menjadi pendapatan utama mereka sehingga ada pemain dan pegawai pasukan terpaksa mengambil potongan gaji.

Perbincangan di antara Liga Perdana, Liga Bolasepak Inggeris (EFL) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) telah diadakan semalam dan lebih banyak perbincangan akan diadakan minggu depan.

Perbincangan itu sudah pasti tertumpu kepada tenaga kerja dengan beberapa kelab besar di dunia, termasuk pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona, telah meminta pemain bintang mereka untuk menurunkan kadar gaji.

Satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu berkata: "Liga Perdana, EFL dan PFA mengadakan pertemuan hari ini dan membincangkan mengenai perkembangan serius pandemik Covid-19.

"Adalah ditegaskan bahawa pendirian ketiga-tiga organisasi ini adalah untuk kekal bersama semua yang terjejas disebabkan wabak berkenaan.

"Liga Perdana, EFL dan PFA bersetuju bahawa satu keputusan sukar akan diambil untuk mengurangkan kesan ekonomi kepada bola sepak profesional di England dan bersetuju untuk bekerjasama bagi mencapai penyelesaian bersama.

"Liga tidak akan bermula hingga 30 April ini. Ia juga hanya akan bersambung apabila keadaan kembali selamat dan membenarkan.

"Mesyuarat lebih lanjut akan diadakan minggu depan bertujuan untuk merangka pelan bersama bagi menangani keadaan sukar yang dihadapi oleh liga, kelab, pemain, kakitangan dan peminatnya," katanya