Philippe Coutinho menyifatkan isu perpindahannya ke Barcelona telah tamat dan dia akan terus komited bersama Liverpool untuk mengharungi saingan musim ini.

Isu perpindahan Coutinho ke Barca menjadi topik hangat di sepanjang jendela perpindahan musim panas lalu, namun segala persetujuan gagal dicapai sehingga tempoh pembelian pemain tamat.

Selepas direhatkan pada awal musim, bintang Brazil itu kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan dan berjaya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan terakhir.

“Saya kekal tenang. Segala-galanya telah berlalu. Kini saya kekal bersama pasukan untuk berjuang bersama pemain lain dan memberikan segala-galanya di tahap maksimum,” katanya.

Coutinho turut beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Spartak Moscow, Rabu lalu, dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bagaimanapun, dia kekal positif dengan prestasi pasukan meskipun masih belum memenangi sebarang perlawanan selepas dua kali beraksi.

“Ia bukan satu keputusan yang kami mahukan tetapi kami perlu terus berusaha keras dan terdapat banyak lagi perlawanan yang menanti. Masih ada empat perlawanan,” tambahnya.