Courtois: Semua pemain terbaik dunia miliki mentaliti yang sama

Oleh Penulis Jemputan 30 November 2017 380
 Courtois: Semua pemain terbaik dunia miliki mentaliti yang sama
Ketika masa depannya untuk kekal sebagai penjaga gol Chelsea masih tiada sebarang kepastian, Thibaut Courtois menyifatkan pemain-pemain berkualiti perlu mempercayai diri mereka berada dalam kalangan terbaik dunia.

Penjaga gol skuad kebangsaan Belgium itu disanjung tinggi selepas meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge serta menyerlah ketika dipinjamkan kepada Atletico Madrid.

Courtois, yang kontraknya bakal berakhir pada penghujung musim 2018-19, menyatakan pada bulan ini bahawa dia tidak mahu terburu-buru untuk menandatangani kontrak baru bersama Chelsea.

Walaupun berusia 25 tahun, persembahan yang dipamerkan oleh Courtois meletakkan dirinya sebaris dengan pemain-pemain terbaik dunia.

"Saya berasakan kualiti yang saya miliki meletakkan saya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia, anda harus sentiasa memikirkan perkara itu untuk berjaya.

"Sememangnya terdapat penjaga gol lain yang lebih berkualiti, jadi ia tidak terletak pada saya untuk menilai perkara ini.

"Saya percaya setiap pemain terbaik dunia dan penjaga gol mempunyai mentaliti yang sama. Saya cuba bekerja keras setiap hari untuk menjadi lebih baik," katanya.

Juara bertahan EPL, Chelsea, bergelut musim ini selepas musim kedua Antonio Conte mengendalikan pasukan, dengan mereka kini di tangga ketiga dan bergelut untuk mengikut rentak Manchester City.

"Saya berasakan semua perlawanan seterusnya adalah wajib menang. Kami ketinggalan 11 mata kepada City, anda tidak boleh lagi kehilangan mata.

"Saya berasakan tahun selepas menjuarai gelaran adalah sukar tetapi kami perlu berusaha untuk mempertahankannya," ujarnya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen