Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois berhasrat untuk menyelesaikan perkara mengenai masa depannya bersama Chelsea sebelum penamat musim 2017-18 selepas timbul laporan yang menyatakan Real Madrid berminat mendapatkan khidmatnya.

Kontrak semasa Courtois di Stamford Bridge akan berakhir pada penghujung musim 2018-19 dan dia dilaporkan telah menolak tawaran yang telah diberikan oleh Chelsea pada Mei lalu.

Penjaga gol nombor satu Belgium itu dipinjamkan ke Atletico Madrid selama tiga tahun dan Real masih lagi mencari penjaga gol yang lebih ampuh selepas gagal membawa David de Gea ke Santiago Bernabeu.

Mengenai kontrak yang ditolak, Courtois menegaskan wang bukan motivasi utamanya.

"Media sering bercakap mengenai wang. Saya tidak menolak wang memainkan peranan tetapi segala-galanya perlu berada dalam kedudukan yang betul.

"Jika saya menandatangani kontrak baru, saya mahu menyatakan saya mahu terus bersama Chelsea.

"Saya gembar bermain dengan kelab ini dan berada di London.

"Buat masa ini, saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru. Tetapi saya mahu menyelesaikannya sebelum tamat musim ini," katanya.