Legenda Chelsea, Gianfranco Zola, percaya Diego Costa mampu menjadi ikon kelab itu sepertimana dilakukan Didier Drogba.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu telah meledak 10 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, sekaligus meletakkan dirinya selaku penjaring terbanyak, berkongsi kedudukan bersama penyerang Manchester City, Sergio Aguero.

Zola -- yang beraksi di Stamford Bridge dari tahun 1993 hingga 2003 -- teruja dengan aksi Costa yang telah menampakkan kemajuan ketara sejak berhijrah dari Atletico Madrid pada tahun 2014.

"Dia dalam kalangan penyerang terbaik dunia," Zola memberitahu Omnisport apabila ditanya sama ada Costa penyerang terbaik di England.

"Dia memiliki kualiti seperti Drogba. Dia memiliki fizikal yang kuat dan mampu menghadirkan bahaya menerusi hantaran lambung.

"Costa juga bijak mengawal bola di samping memiliki larian yang pantas. Jadi, kamu boleh lihat dia mampu mempelbagaikan corak permainannya.

"Musim ini aksinya cukup memukau tetapi dia juga membuktikan bahawa dia mampu membantu rakan sepasukan lain dalam memburu gol."

Chelsea ketika ini mendahului saingan Liga Perdana Inggeris selepas 13 perlawanan dan Zola mengakui dia tidak berasa terkejut dengan kemampuan pengendali Itali, Antonio Conte, memimpin pasukan itu musim ini.

"Jurulatih dari England sememangya bagus tetapi seperti ramai yang sudah tahu, jurulatih dari Itali juga memiliki kualiti yang sama.

"Pada saya, corak permainan Conte sangat sesuai digunakan di England."