Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois, menyifatkan prestasi cemerlang Diego Costa memberikan masalah kepada pertahanan lawan kerana gagal mencari jalan untuk mengekang penyerang kebangsaan Sepanyol itu.

Pemain berusia 28 tahun itu telah meledak 12 gol dalam 15 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan West Brom 1-0 untuk meletakkan Chelsea di persada liga.

Penyerang itu berada di tahap terbaik dan ia mengingatkan Courtois masa mereka beraksi bersama di Atletico Madrid.

"Prestasi cemerlang Costa mengingatkan saya kepada tahun saya beraksi bersama Atletico dan tahun Chelsea memenangi liga dua musim lalu," kata Courtois.

"Costa telah menjaringkan gol yang penting buat kami. Pertahanan tidak berjaya menggugat Costa dan saya berharap kami dapat mengekalkan momentum ini sehingga penghujung musim.

"Kami mengharungi musim yang sukar tahun lalu tetapi sejak Januari atau Februari, Costa sudah mula menjaringkan gol dan dia mengekalkan persembahannya pada musim ini."