Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, telah diuji positif dan seluruh skuad The Gunners dijangka akan diasingkan selepas disahkan oleh kelab itu.

Pihak kelab mengeluarkan kenyataan semalam bahawa pusat latihan London Colney telah ditutup sebagai langkah pencegahan.

Arsenal mengesahkan staf dan pemain yang berhubung dengan Arteta akan diasingkan termasuk wakil daripada skuad utama.

"Mana-mana pemain atau staf Arsenal yang berhubung dengan Arteta kini diasingkan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan," kata wakil kelab itu.

"Kami menjangkakan beberapa individu dari Colney termasuk seluruh skuad utama dan barisan kejurulatihan serta sebilangan kecil wakil dari Akademi Hale End yang kami tutup buat sementara sebagai langkah berjaga-jaga."

Arteta berkata: "Ini amat mengecewakan tetapi saya menjalani ujian selepas berasa tidak sihat. Saya akan kembali bekerja selepas dibenarkan."

Pengumuman Arsenal itu hadir tidak lama selepas pihak Liga Perdana Inggeris mengesahkan aksi Liga Perdana Inggeris melibatkan kunjungan The Gunners ke Brighton and Hove Albion dijalankan seperti biasa, hujung minggu ini.

Aksi itu ditunda selepas pemilik Olympiacos, Evangelos Marinakis, turut didedahkan dijangkiti COVID-19.

Bulan lalu, Olympiacos menyingkirkan Arsenal daripada saingan Liga Europa dan Marinakis menghadiri aksi kedua di Emirates.