Cork nama baru dalam skuad England 

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2017 524
Cork nama baru dalam skuad England 
Pemain tengah Burnley, Jack Cork, telah dipanggil untuk menyertai skuad senior England buat julung kalinya selepas tiga tonggak Three Lions terpaksa menarik diri.

Pemain berusia 28 tahun berkenaan mempamerkan aksi mengagumkan sejak bergabung dengan The Clarets pada permulaan musim ini apabila bermain dalam kesemua 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dia berpeluang untuk membuat kemunculan di peringkat antarabangsa berikutan khidmat Jordan Henderson, Fabian Delph dan Raheem Sterling terpaksa dilupakan. 

Cork, yang merupakan bekas tonggak Chelsea, Southampton dan Swansea City, pernah mewakili England di peringkat remaja hingga skuad bawah 21 tahun, malah sempat beraksi untuk Great Britain dalam Sukan Olimpik 2012.

Pada minggu lalu, pemain kelahiran London itu menyatakan dia masih menaruh harapan untuk bermain dengan Three Lions apabila berkata: "Mungkin pada suatu masa nanti,  jika kami terus menunjukkan prestasi sebegini, salah seorang daripada kami akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan."

Bagaimanapun, Cork mendedahkan bahawa dia tetap terkejut dengan panggilan itu serta berharap ia akan menjadi rutin.

"Saya sangat gembira," katanya kepada laman sesawang rasmi Burnley. "Saya berasa kelu untuk berkata-kata, saya tidak sabar untuk menyertai mereka. 

"Kami mempunyai permulaan yang baik musim ini dan anda mungkin tidak akan mendapat banyak peluang yang lebih baik seperti ini untuk menyertai skuad England, ini kerana kami melakukannya dengan baik.

"Empat atau lima pemain di dalam skuad Burnley juga berpeluang untuk disenaraikan, jadi saya rasa bertuah kerana saya diberi peluang. Mudah-mudahan kami dapat mengekalkan prestasi ini dan beberapa pemain Burleny yang lain akan menyusul," tambahnya.

Jake Livermore turut dipanggil untuk memperkuatkan skuad Gareth Southgate itu susulan trio Tottenham Hotspur, Dele Alli, Harry Winks dan Harry Kane diketepikan akibat masalah kecederaan dan kecergasan. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen