Antonio Conte menyifatkan dirinya tidak pernah takut seandainya dipecat oleh Chelsea selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menewaskan Watford 4-2, semalam.

Jaringan daripada Pedro dan Cesar Azpilicueta serta dua gol daripada Michy Batshuayi membolehkan The Blues meraih kemenangan kelima musim ini.

Chelsea melayan kunjungan Watford selepas mengharungi dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, setelah tunduk 1-0 di tangan Manchester City sebelum tewas mengejut 2-1 kepada pasukan tangga terbawah, Crystal Palace.

"Saya harus berlaku jujur. Saya merasai banyak tekanan tetapi tidak terkesan seandainya pihak kelab membuat keputusan untuk memecat saya.

"Saya tidak tertekan dengan perkara itu kerana percaya dengan hasil kerja saya. Saya cuba melakukan segala-galanya untuk Chelsea dan ia terbukti pada musim lalu.

"Saya tidak akan risau. Tidak sesekali," kata Conte.

"Tekanan yang sebenar adalah saya ingin pemain-pemain memberikan kepuasan kepada peminat kerana mereka menunjukkan kesabaran terhadap kami dalam setiap perlawanan," tambahnya.

Bagi pemain Watford, Marco Silva, yang turut menjaringkan satu gol dalam aksi di Stamford Bridge, dia tidak mahu menyalahkan Richarlison selepas rakan sepasukannya itu terlepas peluang keemasan untuk membuat jaringan.

"Dia layak menerima pujian selepas apa yang diberikan.

"Saya pasti dia akan menjaringkan semula gol selepas ini. Sebelum ini, dia menjaringkan gol penting buat kami," ujar Silva.