Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, tidak perlu mendapatkan jaminan mengenai jawatannya itu daripada pemilik, Roman Abramovich, selepas dibayangi prestasi tidak menentu kebelakangan ini.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu perlu mengelak kekalahan kali ketiga berturut-turut di peringkat domestik apabila menjadi tuan rumah kepada Watford yang sedang dalam prestasi memberangsangkan, selepas The Blues seri 3-3 dengan Roma dalam Liga Juara-Juara (UCL), Khamis lalu.

Conte menandatangani kontrak baru di Chelsea sebelum permulaan musim ini dengan terma kontrak yang lebih baik, namun tempoh kontrak tiga tahun yang ditandatanganinya pada 2016 tidak dilanjutkan.

Spekulasi bertiup dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang mencadangkan bekas bos Itali itu mungkin meninggalkan Stamford Bridge pada akhir musim ini dan dia enggan mendedahkan perbualan terbaru dengan Abramovich semasa ditemui dalam sidang media bagi aksi dengan Watford di Stamford Bridge, malam ini.

"Saya fikir, mengenai perbincangan saya dengan kelab, langkah yang betul adalah biarkan ia kekal rahsia," kata Conte.

"Ia tidak penting untuk memberitahu akhbar, saya fikir secara jujurnya, ia mestilah dengan cara ini, ini adalah cara yang betul."

Ditanya sama ada dia berasakan dia mendapat sokongan daripada kelab itu, pengurus berusia 48 tahun itu menjawab: "Sokongan adalah peranan saya, kerja saya. Inilah sokongan tunggal saya.

"Saya hanya tahu sokongan ini dalam pengalaman saya, saya tidak tahu sokongan lain. Sokongan adalah tugas saya dengan mencurahkan segala-galanya terhadap tugasan.

"Sekiranya ini sudah cukup, tidak mengapa. Jika tidak, (terdiam). Tetapi, satu-satunya sokongan yang saya tahu ialah tugas saya," hujahnya.

Conte memenangi tiga gelaran Serie A berturut-turut di Juventus sebelum bercakap mengenai jawatan di Itali, namun dia cenderung untuk merujuk peranannya sebelum ini dengan Siena, Bari dan Arezzo sebagai bukti dia menghadapi masa sukar sebagai jurulatih.

"Setiap situasi berbeza kerana ketika saya menjadi jurulatih di Siena, ia berbeza; di Bari ia berbeza; di Arezzo ia berbeza; dengan pasukan kebangsaan, ia berbeza," katanya.

"Sekarang ini ia berbeza dengan Chelsea. Saya menghadapi situasi yang berbeza, anda belajar setiap hari. Anda mesti terbuka untuk belajar daripada setiap pengalaman.

"Ini sangat penting. Jika anda fikir adalah mustahil untuk belajar sesuatu, anda hanya orang bodoh, saya belajar setiap hari dan saya memberikan segala-galanya setiap hari," katanya lagi.