HUDDERSFIELD TOWN 1 CHELSEA 3

Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte, memuji sumbangan Eden Hazard, Pedro dan Willian apabila trio itu memperagakan aksi cemerlang untuk menumpaskan Huddersfield Town 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium John Smith, awal pagi tadi.


Hazard bermula sebagai pemain tengah menyerang ketika ketiadaan Alvaro Morata yang mengalami kecederaan, dengan Pedro dan Willian sentiasa menunjukkan aksi menarik di belakangnya.

Willian adalah tonggak paling berkesan di antara mereka, dengan membuat bantuan gol buat Tiemoue Bakayoko pada minit ke-23 dan melakukan jaringan beberapa minit sebelum rehat.

Pemain Brazil itu kemudian menyediakan peluang jaringan untuk Pedro melakukan rembatan dari jarak 15 meter selepas lima minit separuh masa kedua bermula.

Conte terkesan dengan sumbangan jentera serangannya dan turut menyentuh prestasi Bakayoko sejak tiba dari Monaco.

"Saya memutuskan penyelesaian ini dan ini bukan kali pertama dengan pemain-pemain ini," katanya kepada BT Sport.

"Saya fikir mereka sangat baik daripada segi teknikal dan mempunyai kombinasi baik -- mereka bermain dengan baik hari ini.

"Saya fikir dia (Bakayoko) beraksi sangat bagus, dia pemain muda, seorang pemain berpotensi besar. Dia bermain dengan baik dan sentiasa fokus."

Conte membuat empat perubahan daripada pasukan yang mengalami kekalahan mengejut 1-0 kepada West Ham, Sabtu lalu -- sesuatu yang dia percaya amat penting memandangkan jadual padat pada masa ini.

"Saya rasa pertukaran itu perlu bagi kami," katanya.

"Ia bagus untuk memberi peluang kepada setiap pemain bagi menunjukkan mereka layak bermain.

"Saya suka apabila kami mempunyai kemampuan untuk menukar pemain. Tidak mungkin pemain boleh bermain setiap tiga hari ketika mereka letih. Apabila membuat respons seperti ini, ia bagus untuk pemain, jurulatih dan kelab," tambahnya.