Pengurus Chelsea, Antonio Conte telah mempersoalkan semangat Oscar selepas pemain kebangsaan Brazil itu mengemukakan cadangan untuk berhijrah ke kelab China, Shanghai SIPG.

Oscar mengesahkan pada minggu ini bahawa dia kini berada di pintu keluar Stamford Bridge dan Conte tidak mengagumi keputusan yang diambil oleh pemain tengah berusia 25 tahun itu untuk mengejar wang dalam Liga Super China pada peringkat ini dalam kerjayanya.

"Sebelum wang ia seharusnya semangat, keghairahan untuk bermain bola sepak," kata Conte pada sidang akhbar.

"Kami mula bermain ketika kanak-kanak dan tanpa wang hanya berbekalkan semangat. Kemudian wang menyusur, tetapi semangat yang lebih penting daripada wang untuk saya. Jika anda tidak mempunyai semangat itu, ia sesuatu yang tidak baik.

"Oscar merupakan seorang pemain yang baik. Saya amat berbangga dengan kehadiran dia dalam skuad saya dan mempunyai dia sebagai pemain saya.

"Saya bangga dengan sikap, komitmen dan kelakuannya, ia amat mengagumkan. Saya memberikan penghormatan yang tinggi terhadap setiap keputusan yang dibuat oleh pemain.

"Jika anda bertanya kepada saya, 'Adakah anda sedih?' jawapannya ya, saya sedih. Saya sedih kerana dia meninggalkan kami sebagai pemain yang benar-benar baik dan seorang lelaki yang benar-benar baik.

"Tetapi saya memahaminya dan keputusannya. Sebagai pemain, anda perlu mengambil keputusan yang terbaik. Kadang-kadang anda boleh mengatakan tidak, tetapi ada masanya anda perlu mengatakan ya.

"Mereka menawarkan gaji yang cukup tinggi. Mungkin anda hanya berfikir mengenainya untuk satu atau 10 saat, tetapi ia amat sukar untuk tidak berfikir mengenainya jika tawaran yang diberikan adalah luar biasa."