Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, menyangkal spekulasi terbaru yang mengaitkan Eden Hazard dengan perpindahan bernilai £90 juta (RM491.7j) ke Manchester United.

Beberapa laporan mengatakan pengurus United, Jose Mourinho, boleh mendapatkan bintang Belgium tersebut yang menolak tawaran baru di Stamford Bridge.

Dengan jendela perpindahan Januari yang semakin dekat, Conte segera mengesampingkan khabar angin itu daripada ribut media yang mula menjengah pasaran pertengahan musim.

Di samping isu Hazard, Conte turut diajukan soalan mengenai masa depan David Luiz dan Kenedy -- pemain yang menjadi sasaran Arsenal dan Newcastle United.

"Tempoh sukar sudah bermula kepada setiap kelab dan jurulatih kerana kewujudan banyak khabar angin, ada yang benar dan ada yang salah," katanya dalam sidang media menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton, esok.

"Kami harus bersedia untuk menghadapi situasi ini. Cara terbaik untuk saya ialah tidak membaca (laporan) dan hanya berbual di kelab, kemudian cuba memperbaiki skuad ini sebaik mungkin.

"Kami mesti bersedia untuk menghadapi khabar angin ini tetapi pada masa sama, perlu fokus untuk menghadapi satu persatu perlawanan kerana kami perlu bermain selang tiga hari.

"Kami tidak mahu khabar angin ini mengganggu kami.

"Ada banyak khabar angin dan kami perlu menghadapinya, pemain saya sangat fokus pada masa ini. Kami tidak mengendahkan khabar angin ini kerana kebanyakannya tidak benar," tambahnya.

Mengenai potensi Chelsea memantapkan lagi skuad itu pada Januari, Conte memberikan jawapan mudah.

"Saya lebih suka bercakap dengan kelab untuk cuba mencari penyelesaian terbaik bersama-sama," katanya. "Jika ada kemungkinan untuk memperbaiki skuad, saya fikir ia akan menjadi pilihan yang baik.

"Saya menikmati masa bersama pemain-pemain ini dan saya bersedia untuk terus mengurus semua pemain ini.

"Pada masa sama, jika terdapat kemungkinan untuk memperbaiki skuad ini, saya rasa kelab akan cuba melakukannya," katanya lagi.