WEST HAM 1 CHELSEA 0

Antonio Conte menerima hakikat adalah mustahil mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 1-0 kepada West Ham dalam pertembungan 'derby' London, semalam.


Gol pada minit keenam daripada Marko Arnautovic sudah cukup buat The Hammers mengecewakan Chelsea yang telah merekodkan kekalahan keempat dalam 16 perlawanan, musim ini.

Chelsea melakukan asakan demi asakan ke arah kubu pertahanan lawan tetapi bergelut mencari ruang untuk menyamakan kedudukan.

Keputusan itu meletakkan mereka ketinggalan 11 mata kepada pendahulu liga, Manchester City, yang masih berkelebihan satu perlawanan.

"Berbincang mengenai persaingan kejuaraan liga selepas tewas, pada pendapat saya, adalah sesuatu yang ganjil," kata Conte.

"Terutama sekali ia adalah kekalahan keempat musim ini selepas 16 perlawanan. Mengejar pendahulu liga dan mempertahankan kejuaraan kami adalah mustahil.

"Berdasarkan pengalaman saya, jika anda mahu terus berada dalam mengejar takhta liga, perkara paling utama adalah anda tidak boleh tewas dua kali," katanya.

Bagi Conte, beliau tidak meragui masalah yang dihadapi oleh Chelsea, yang gagal menyempurnakan peluang selepas gagal bermula dengan baik.

"Kami tewas kepada West Ham kerana kami gagal bermula dengan baik dan sukar untuk bangkit selepas ketinggalan.

"Saya menyaksikan perlawanan yang sama ketika mereka bertemu Manchester City. Mereka dipaksa menyerang sepanjang perlawanan berdepan lawan yang bertahan dengan 11 pemain.

"Tetapi City menemui jalan untuk menjaringkan gol. Kami telah menghasilkan peluang tetapi gagal menyempurnakannya. Ramai pemain yang mula kepenatan dan ia adalah kebiasaan apabila beraksi dalam banyak perlawanan," tambahnya.