CHELSEA 1 SWANSEA 0

Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, memohon maaf kepada pengadil perlawanan, Neil Swarbrick dan Lee Mason, selepas dibuang padang kerana bertindak berang ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Swansea, awal pagi tadi.


Conte dalam keadaan kecewa selepas diarahkan keluar padang oleh Swarbrick ketika perlawanan hampir tamat pada babak pertama.

Pengendali berusia 48 tahun itu membantah keputusan pengadil yang memberikan sepakan penjuru kepada Swansea.

Ketegangan Conte itu ternyata mengecewakan dirinya dan beliau memohon maaf di atas perbuatannya.

"Selepas perlawanan, saya memohon maaf di atas perbuatan tersebut.

"Ketika perlawanan berlangsung dalam babak pertama, saya melihat Swansea cuba membuang masa. Saya telah memberitahu perkara itu beberapa kali kepada Mason. Tetapi tiada perubahan yang berlaku, jadi saya memberitahu kepadanya sekali lagi dan pengadil mengambil keputusan.

"Saya ulangi, saya memohon maaf. Saya sangat kecewa. Saya telah melakukan kesilapan.

"Lawan kami membuang masa dan saya bertindak. Tindakan saya menjerit kepadanya membuatkan beliau turut hilang sabar. Tetapi saya ulangi, setiap kesilapan hadir daripada saya.

"Saya menyaksikan perlawanan ini dalam bilik persalinan. Kami memiliki kamera taktikal," ujarnya.

Chelsea kekal di tangga ketiga hasil jaringan tunggal perlawanan oleh Antonio Rudiger 10 minit selepas perlawanan bersambung, sekaligus mencatatkan enam perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Perlawanan seperti ini, kami seharusnya lebih mudah menjaringkan gol. Dalam masa sama, anda harus memberikan tumpuan kepada serangan balas.

"Perasaan saya lebih baik berbanding sebelum ini, ketika kami memulakan musim ini. Kami memiliki banyak masalah. Kami cuba menyelesaikannya. Saya berasakan kami sedang meningkat naik," tambahnya.