Pengurus Chelsea, Antonio Conte, percaya menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik sudah cukup bermakna selepas usaha mereka untuk mempertahankan gelaran sudah terkubur.

Juara bertahan itu akan bertemu Stoke City hari ini dengan ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, yang berada pada prestasi terbaik musim ini.

Chelsea masih lagi beraksi dalam saingan Piala EFL dan Piala FA di samping akan bertemu Barcelona dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), yang bermakna mereka masih lagi berpeluang
menamatkan musim dengan kejuaraan.

Tetapi Conte percaya musim mereka akan dikira berjaya jika dapat menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik.

"Saya berasakan, dalam liga ini, menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik cukup bermakna," kata Conte.

"Ini merupakan satu-satunya liga yang mempunyai enam pasukan bersaing untuk merebut gelaran juara liga setiap musim. Kemudian ada empat slot untuk direbut beraksi dalam Liga Juara-Juara.

"Buat masa ini, sukar untuk kami bersaing mempertahankan gelaran tetapi kami akan berusaha untuk mendapatkan tiga mata untuk penyokong kami," katanya.