CHELSEA 3 BOURNEMOUTH 0

Antonio Conte memberi amaran kepada Chelsea agar tidak terlalu alpa dengan kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge dan menggesa pemain-pemain supaya meneruskan momentum ini.


Pendahulu liga itu ketiadaan kelibat Diego Costa dan pemain tengah, N'Golo Kante, yang digantung perlawanan kerana mengumpul lima kad kuning, tetapi dua jaringan daripada Pedro dan gol liga ke-50 Eden Hazard membantu The Blues merakamkan kemenangan ke-12 berturut-turut.

"Kami bermain dengan baik, kami mampu menjaringkan lebih banyak gol, tetapi saya sangat gembira dengan sikap pemain-pemain saya," ujar Conte kepada BBC.

"Kami beraksi tanpa kelibat dua tonggak utama pasukan tetapi kami bermain dengan baik.

"Memenangi 12 perlawanan berturut-turut bukan satu tugas yang mudah dalam liga ini. Ia adalah satu pencapaian yang bagus dan kami mampu meneruskannya.

"Dalam tempoh empat hari ini, kami akan menempuh perlawanan yang sukar dan kami perlu membuat persiapan yang rapi kerana setiap pasukan mahu menewaskan Chelsea."

Sementara itu, pengurus Bournemouth, Eddie Howe, berasakan mereka tidak bernasib baik kerana tewas dengan tiga gol.

"Chelsea merupakan pasukan yang berkualiti, tetapi kami juga telah memberikan yang terbaik," katanya.

"Mereka membuka jaringan secara tiba-tiba, tanpa sebarang tekanan yang diberikan kepada pertahanan kami. Gol kedua mereka dalam separuh masa kedua menyukarkan lagi tugas kami untuk menyamakan kedudukan."