Pengurus Chelsea, Antonio Conte, meletakkan kepercayaannya untuk memilih Andreas Christensen berdepan Manchester City di Stamford Bridge bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

David Luiz digantung tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Arsenal dan The Blues bakal menerima kunjungan City yang telah menjaringkan 21 gol dalam enam aksi pembukaan musim ini.

Pertahanan Denmark, Christensen, telah diturunkan dalam dua perlawanan liga musim ini, termasuk kemenangan 4-0 ke atas Stoke City.Bagaimanapun, Conte memuji pertahanan berusia 21 tahun itu di samping percaya dia sudah bersedia menghadapi cabaran yang bakal dipamerkan oleh City.

"David adalah seorang pemain yang penting untuk kami tetapi Christensen juga bermain dengan baik dan mula menonjolkan kualitinya.

"Dia telah mempamerkan kematangan dan saya gembira dengan prestasinya," katanya.

Conte turut memuji Alvaro Morata selepas pemain kebangsaan Sepanyol itu mula menonjolkan taringnya di England.

Berhijrah dari Real Madrid, penyerang itu telah meledak enam gol dan Conte melihat Morata sebagai tonggak utama memacu Chelsea ke arah kejayaan musim ini.

"Ini merupakan peluang pertamanya untuk beraksi sebagai pemain utama sebagai penyerang.

"Dalam kelabnya sebelum ini, dia kurang diberikan peluang dan kini Morata memiliki tanggungjawab serta tekanan yang besar dan dia mampu menanganinya," katanya lagi.