Antonio Conte menggunakan kesempatan menewaskan Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk mengkritik pihak Liga Perdana Inggeris (EPL) mengenai cara penyusunan jadual buat skuad The Blues.

Chelsea bakal menentang Manchester City pada Sabtu ini di laman sendiri dan selepas melihat jadual City yang terlebih dahulu beraksi menentang Shaktar Donetsk pada awal pagi Rabu, pengurus dari Itali itu jelas berang.

"Bagi saya, dalam isu ini, kami seperti menerima hukuman. jangan lupa, Manchester City beraksi dalam saingan UCL semalam, bukan hari ini.

"Kami bermain di luar England pada hari ini, berbeza dengan City. Sudah tentu kami akan pulang ke London sekitar jam 4 pagi dan hanya memiliki sehari untuk melakukan persiapan.

"Ia bukan sesuatu yang bagus untuk menghadapi perlawanan besar," kata Conte.

"Sejujurnya, saya terkejut kami akan bermain pada Sabtu dan bukan Ahad. Saya tidak dapat memahaminya.

"Apapun, kami mahu sentiasa bersedia dan perlu turun beraksi."

Dalam masa sama, kejayaan The Blues menewaskan Atletico di tempat lawan membuatkan Conte begitu teruja.

"Jika anda menang dengan cara bertahan dan serangan balas, ia tidak akan memberikan sebarang kepuasan.

"Penting untuk datang ke sini, membuktikan kami bersedia. Ia bukan sesuatu yang mudah apabila Atletico terlebih dahulu menjaringkan gol tetapi kami berhak untuk menang," tambahnya.