SUNDERLAND 0 CHELSEA 1

Pengendali Chelsea, Antonio Conte, kecewa ekoran kelab itu gagal mengesahkan kemenangan lebih awal ke atas Sunderland, namun memuji aksi Thibaut Courtois menyelamatkan gawang pada minit ke-93, sekaligus memastikan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu melakar kemenangan 1-0.


Chelsea mendominasi hampir keseluruhan perlawnaan di Stadium of Light pada Rabu dan berada di depan pada minit ke-40 hasil gol sumbangan Cesc Fabregas.

The Blues mampu mengesahkan kemenangan besar, namun Willian, Victor Moses dan Diego Costa gagal melunaskan peluang masing-masing.

Sunderland hampir meledak gol penyamaan menerusi percubaan Patrick van Aanholt, namun Courtois berjaya menampan rembatan deras pemain pertahanan itu.

"Apabila mendapat peluang untuk mengesahkan kemenangan lebih awal, kamu perlu mengambil peluang itu.

"Kami mendapat peluang itu tetapi kami gagal menyempurnakannya, dan kami bernasib baik kerana Courtois menyelamatkan gawang," ujar Conte.

"Saya berharap kami akan memperbaiki aspek ini pada masa akan datang."

Sementara itu, Conte turut berpuas hati dengan keputusannya untuk menurunkan Fabregas tatkala bekas pemain Barcelona itu memastikan Chelsea melakar kemenangan ke-10 berturut-turut dalam saingan liga.

"Dia seorang pemain yang bagus. Saya memililki empat pemain tengah, jadi penting untuk saya menilai kemampuan keempat-empat pemain ini.

"Saya mahu pemain saya mula memberi fokus untuk perlawanan seterusnya."