Pengurus Chelsea, Antonio Conte, menggesa pemain-pemainnya untuk melupakan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dengan memberikan fokus untuk mengejar Manchester United.

City mendahului saingan dengan kelebihan lima mata selepas United meraih kemenangan 4-2 ke Watford, dengan Chelsea yang masih ketinggalan enam mata akan menerima kunjungan Swansea City.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu terus mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih 12 kemenangan daripada 13 perlawanan, menjaringkan 42 gol dan bolos lapan.

Conte berkata Chelsea perlu memberikan tumpuan untuk memintas United, bukan The Citizens.

"Kami perlu melihat kepada persembahan diri sendiri berbanding orang lain. Sasaran kami adalah mengejar United," kata Conte.

"Ia adalah sasaran pertama dan jika kami mampu melakukannya, kami akan melihat melihat apa yang mampu dilakukan selepas itu.

"Mentaliti kami perlu berada pada tahap terbaik dan cuba meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Man City mempamerkan persembahan yang cemerlang hingga kini tetapi kami perlu yakin dengan kualiti pasukan dan mencuba yang terbaik," katanya lagi.

Chelsea belum tewas dalam lima perlawanan liga, termasuk kemenangan ke atas United dan seri dengan Liverpool.

Conte menyifatkan terdapat banyak perkara yang boleh diambil positif di sebalik permulaan yang hambar musim ini.

"Kami akan terus mencuba yang terbaik. Kami ketinggalan 11 mata dengan City dan telah bermain dengan lima pencabar utama EPL.

"Kami telah berada dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara (UCL). Kami akan bersaing dalam suku akhir Piala Carabao," ujarnya.