City tidak tunjukkan sebarang kelemahan, kata Klopp

Oleh Staff Writer 21 Disember 2018 816
City tidak tunjukkan sebarang kelemahan, kata Klopp
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menolak untuk pasukannya dilihat sebagai pilihan utama menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, sebaliknya menyatakan tiada kelemahan yang ditunjukkan pencabar terdekat, Manchester City, setakat ini.

Liverpool akan membuat perhitungan dengan Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, awal pagi nanti, dengan kelebihan satu mata di atas City dan enam mata mendahului pencabar di tempat ketiga, Tottenham Hotspur.

Jika menang, mereka akan mendahului carta liga sebelum perayaan Krismas dan berupaya memberikan lebih tekanan kepada City yang akan menanti kunjungan Crystal Palace, sehari selepas itu.

The Reds tidak pernah kalah sepanjang musim ini dan City pula hanya tewas sekali kepada Chelsea, Ahad lalu.

Walaupun mempunyai kelebihan di atas kertas, Klopp menyatakan City masih lagi pasukan yang sukar untuk diatasi sepanjang baki musim ini.

"Jika melihat daripada sudut neutral, City adalah pasukan yang kami perlu atasi sepanjang musim ini.

"Secara jujurnya, saya tidak melihat pasukan saya sebagai pilihan utama.

"Berdasarkan pemerhatian saya setiap minggu, kami perlu sentiasa bekerja keras.

"Mereka pasukan yang baik dan saya perlu menghormatinya.

"Saya tidak boleh menyatakan mereka bernasib baik sepanjang musim ini kerana itu bukan sebab utama mereka sentiasa meraih kemenangan.

"Mereka mencuri perhatian dalam setiap perlawanan.

"Mereka juara musim lalu dengan 100 mata dan masih lagi dengan kualiti yang sama.

"Tiada sebarang kelemahan yang ditunjukkan mereka.

"Mereka juara bertahan dan masih beraksi seperti juara.

"Kualiti yang dipamerkan mereka masih sama seperti musim lalu dan ia sangat istimewa," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen