Pep Guardiola berkata langkah mendapatkan khidmat pertahanan Southampton, Virgil van Dijk, di Manchester City, Januari ini, adalah suatu perkara yang "mustahil".

City merupakan antara pasukan yang telah dikaitkan dengan perpindahan pemain kebangsaan Belanda itu selepas merekodkan tiga perlawanan tanpa bolos selepas 17 perlawanan dan terpaksa beraksi tanpa kelibat Vincent Kompany. Ternyata masalah utama skuad bimbingan Guardiola adalah di barisan pertahanan.

Tetapi bercakap menjelang aksi 'boxing day' berdepan Hull City, bekas pengurus Barcelona itu berkata beliau tidak berminat untuk mendapatkan khidmat Van Dijk sehingga mereka berkunjung ke Stadium St Mary pada April.

"Van Dijk akan tiba di kelab bulan hadapan? Kami akan berdepan Southampton?

"Dia tidak akan datang bulan hadapan -- mustahil. Kerana dia adalah pemain Southampton dan kami tidak memerlukan khidmatnya buat sementara waktu ini," ujar Guardiola.

John Stones merupakan pemain pertahanan yang menyerlah di City sejak tiba di Stadium Etihad, namun pemain kebangsaan England itu diketepikan ketika mereka melakar dua kemenangan berturut-turut ke atas Watford dan Arsernal.

Bagaimanapun, Guardiola berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan oleh pemain berusia 22 tahun itu dan percaya kebolehan untuk mengawal tekanan menghadapi cabaran mampu meningkatkan lagi mutu permainannya.

"Dia bermain banyak perlawanan. Ini merupakan kali pertama dalam kariernya beraksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.

"Untuk memberikan tumpuan sepanjang tiga perlawanan, anda memerlukan pengalaman. Tetapi dia telah banyak beraksi. Dia seorang pemain yang bagus."

Guardiola juga memberikan pujian kepada pemain sayap England, Raheem Sterling yang berjaya mengembalikan prestasi terbaik selepas gagal menyerlah musim lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu telah meledak enam gol dan mempamerkan aksi yang mantap ketika berdepan Arsenal.

"Sterling mempamerkan kualiti yang bagus berdasarkan perlawanan lepas, dia merupakan pemain yang muda, dia memerlukan lebih banyak pengalaman untuk menghasilkan aksi yang lebih konsisten."