Vincent Kompany berpendapat Manchester City tidak akan sentiasa meraih kemenangan sambil menerapkan corak bola sepak indah selepas Watford memberikan cabaran sebelum akhirnya tewas di tangan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu 2-1, awal pagi tadi.

Leroy Sane meletakkan City di depan menggunakan dada lima minit sebelum babak pertama berakhir dan Riyad Mahrez mengukuhkan kedudukan sebaik sahaja selepas rehat.

Penjaga gol Watford, Ben Foster, melakukan lima aksi tangkas tatkala skuad bimbingan Pep Guardiola itu bergelut sebelum gol daripada Abdoulaye Doucoure mencetuskan suanasa tegang dan sengit.

Aymeric Laporte terpaksa dibawa masuk menggantikan Gabriel Jesus bagi memastikan tiga mata mampu dicapai dan Kompany mengingatkan rakan sepasukan bahawa tidak semua kemenangan boleh diraih mengikut cara mereka.

"Ia satu aksi Liga Perdana Inggeris. Sebaik sahaja mereka mula menerapkan bola hantaran jauh, Watford berkelebihan daripada segi fizikal. Pujian buat kami yang kekal bertahan," kata Kompany.

"Saya tidak rasa kami akan kalah. Kami meraih peluang untuk menjadikan kedudukan 3-0 jika berlaku sebarang perkara. Kami mengawal permainan dengan lebih kemas. Anda tidak boleh beraksi dalam khayalan sepanjang masa."

Sementara itu, Guardiola kecewa pasukannya gagal mengesahkan kemenangan dalam keadaan lebih tenang tetapi teruja melihat Sane kembali menemui sentuhan setelah melalui permulaan suram bagi mendapatkan tempat dalam pasukan.

"Sane menjaringkan gol dan dia sudah kembali," ujar Guardiola.

"Kami meraih persembahan terpuji, beraksi agresif dan mendapatkan bola walaupun Foster melakukan beberapa aksi tangkas.

"Dalam babak pertama, kami meraih banyak peluang dan selepas 2-0, perlawanan jadi terkawal. Namun, kami memberikan ruang buat mereka untuk melakukan serangan balas.

"Apabila anda tewas dalam 10 atau 15 minit terakhir, anda akan merana sambil memerlukan jaringan ketiga. Kami mempunyai beberapa peluang untuk mematikan aksi tetapi kami terlepas. Kami bukan masih mentah dalam saingan Liga-Juara Eropah."