Pep Guardiola mendakwa Manchester City kini fokus untuk saingan musim depan selepas menerima hakikat tiada lagi harapan untuk mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Awal pagi tadi, Guardiola meraih kemenangan ke-100 liga selaku pengendali City tatkala jaringan daripada Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United.

Kemenangan itu meletakkan City satu mata di belakang Leicester City tetapi masih ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang menewaskan Wolverhampton Wanderers 1-0.

Melihat jurang yang besar itu, Guardiola menerima City tidak lagi mampu mencabar kejuaraan liga yang dimenangi dua musim berturut-turut sebelum ini dan menegaskan fokus utama kini adalah untuk memperbaiki persembahan menjelang musim 2020-21 sambil menyasarkan kejayaan saingan piala.

"Tidak. Tidak realistik untuk memikirkan tentangnya," katanya dalam sidang media sewaktu ditanya sama ada Liverpool mampu dikejar.

City bangkit selepas tewas 3-2 di tangan Wolves, Jumaat lalu yang menyaksikan pasukannya memiliki kurang 48 jam untuk menghadapi aksi seterusnya.

"Pasukan yang memiliki mata seperti Liverpool, mengapa kami patut fikirkannya? Hanya perlu bersedia, beraksi dengan baik dan merapatkan jurang dengan puncak liga serta bersiap sedia untuk kejohanan kalah mati atau musim depan.

"Setiap perlawanan membantu kami untuk meningkat dalam musim seterusnya. Diharapkan kami mampu tampil lebih baik.

"Motivasinya untuk meningkatkan pasukan kerana ia mampu membolehkan kami menang, itu menjadikan semuanya lebih baik. Ia adalah motivasi terbaik buat kami. Walaupun masa lalu.

"Kini, kami pulih dalam tiga hari, terima kasih dan bersedia untuk aksi menentang Everton. Itu yang perlu dilakukan."


Editor: Nafis Abdullah