Pep Guardiola sedar Manchester City perlu berubah jika mahu kembali ke puncak liga walaupun dia menolak untuk mendapatkan pemain baru bulan depan.

Juara bertahan itu mengalami kekalahan kelima musim ini selepas tewas di tangan Wolverhampton Wanderers, sekali gus meletakkan mereka ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Situasi itu berkemungkinan menyebabkan City gagal memulakan dekad baru dengan menambah trofi liga kelima sejak 2010 tatkala mereka telah dua kali menjulang Piala FA dan empat kali memenangi Piala EFL.

Deretan kejayaan telah mengubah City tetapi Guardiola tahu pihak kelab tidak boleh berdiam diri jika mahu menang lebih banyak trofi.

"Pihak kelab telah melakukan langkah hebat dengan pengurus dan pemain berbeza dalam dekad terakhir," katanya.

"Saya fikir dalam tempoh 10 tahun, City telah empat kali menang liga dan ia sesuatu yang bagus.

"Memang ada tempoh. Bola sepak tidak sentiasa berada di atas. Kami begitu hebat dalam dua musim dan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, kami tewas lebih banyak berbanding dua musim sebelum ini. Jadi, anda perlu sesuaikan diri.

"Anda perlu kenal pasti dan teruskan kemaraan."

Proses penyesuaian itu mungkin berlaku selepas tamat musim ini selepas David Silva mengesahkan bakal meninggalkan pasukan sambil Fernandinho mungkin mengikut jejak langkahnya.

Selepas tewas di tangan Wolves ketika beraksi dengan 10 pemain, Guardiola mendedahkan dia juga tidak bersetuju dengan jadual padat apabila turun beraksi menentang Sheffield United awal pagi esok.

"Semua pengurus bersetuju tentangnya," tambahnya.

"Setiap musim sama. Musim pertama juga begitu. Saya beraksi di Anfield dan dua hari kemudian menentang Burnley, beraksi dengan 10 pemain selama 75 minit.

"Kenyataan saya tidak akan mengubah apa-apa. Saya fikir Jose Mourinho dan Jurgen Klopp bercakap perkara sama. Setiap musim tetap sama. Pihak televisyen telah membuat keputusan dan kami perlu sesuaikan diri.

"Saya tidak yakin dengan perubahan jangka panjang kerana mereka tidak peduli."


Editor: Nafis Abdullah