SOUTHAMPTON 1 MANCHESTER CITY 3

Pertahanan tengah Manchester City, Vincent Kompany, mengakui maruah pasukannya tercalar ketika tewas kepada Crystal Palace dan Leicester City sebelum ini, namun berjanji pasukannya akan memberikan segala yang terdaya untuk perlawanan menentang Liverpool, Jumaat ini.


Selepas tewas 3-2 kepada Palace dan 1-2 kepada kepada Leicester, juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Southampton 3-1 di Stadium St Mary, malam tadi.

Tiga mata yang diraih melonjakkan kembali skuad kendalian Pep Guardiola itu ke tangga kedua liga dan dibezakan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Gol daripada David Silva, Sergio Aguero dan jaringan sendiri James Ward-Prowse memastikan City memanfaatkan sepenuhnya kekalahan 1-3 Tottenham Hotspur kepada Wolverhampton Wanderers dan Kompany berasakan dengan persembahan seperti itu, City mampu mempertahankan kejuaraan liga musim ini.

"Ia bukan sekadar kemenangan, namun ia mengenai cara kami bermain," katanya kepada Sky Sports.

"Kami tidak memikirkan tentang perkara lain selain daripada prestasi kami.

"Kami perlu lebih bernafsu dan agresif.

"Maruah pasukan ini telah dicalar sebelum ini dan kami perlu memberikan reaksi seperti itu," ujarnya.

City dan Arsenal terikat tanpa jaringan ketika perlawanan di Anfield, Oktober lalu.

Namun, Kompany berasakan pasukannya tidak memiliki sebarang kekurangan berbanding skuad Jurgen Klopp itu yang menewaskan Arsenal 5-1, kelmarin.

"Kami mahu mula mengorak langkah.

"Kami melalui empat kejohanan dalam musim yang hebat.

"Malam ini, kami telah kembali ke landasan yang betul.

"Kami akan melalui perlawanan berikutnya dengan semangat yang sama.

"Kami sentiasa mahukan kemenangan.

"Kami perlu bersedia untuk berjuang menentang Liverpool dan mencuba untuk meraih kemenangan.

"Kami perlu mengeluarkan segala yang terdaya dalam perlawanan itu," katanya.