City pasukan terbaik Eropah

Oleh Penulis Jemputan 4 November 2017 1685
City pasukan terbaik Eropah
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menyifatkan Manchester City sebagai pasukan terbaik di Eropah susulan permulaan hebat pada musim ini.

City meraih sembilan kemenangan selepas 10 perlawanan liga dan memiliki rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Skuad kendalian Pep Guardiola itu telah menjaringkan 47 gol dalam dua kejohanan, mencatatkan purata 3.35 gol setiap aksi, sekaligus membuktikan ketajaman  barisan depan yang dimiliki.

Anak-anak buah Pochettino juga mempamerkan taring apabila membenam Real Madrid 3-1 dalam saingan UCL pada Khamis lalu, namun dia tetap berpendapat The Citizens kini berada di tahap tersendiri.

"City beraksi sangat baik dalam saingan liga dan UCL. Cabaran mereka kini perlu sentiasa konsisten tetapi telah pun membuktikan kualiti yang tinggi.

"Mereka kini pasukan terbaik di Eropah," kata Pochettino.

Spurs bakal turun menentang pasukan tangga terbawah, Crystal Palace, malam esok dan pengendali dari Argentina itu menjangkakan saingan sengit daripada skuad bimbingan Roy Hodgson.

"Ia akan menjadi sukar. Perlawanan selepas aksi pada pertengahan minggu kebiasaannya tidak mudah tetapi kami harus bersedia.

"Walaupun kini bergelut, Palace adalah pasukan yang bagus, memiliki jurulatih yang hebat dan dia mengurus pasukan dengan teratur.

"Kami harus melupakan kemenangan ke atas Real Madrid dan perlu memastikan kemenangan diraih ke atas Crystal Palace selepas tewas 0-1 di tangan Manchester United, minggu lalu," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen