Manchester City telah memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 100 mata musim lalu tetapi Pep Guardiola percaya pasukannya jauh lebih baik musim ini.

Musim kedua menyaksikan Guardiola melakar kejayaan di Stadium Etihad selepas menjulang Piala EFL sebelum memenangi kejuaraan EPL dengan kelebihan 19 mata ke atas pencabar terdekat, Manchester United.

City tewas dua kali bagi musim 2017-18 -- kepada Liverpool dan United -- tetapi kekalahan kepada Chelsea dan Crystal Palace bulan ini menyaksikan mereka telah menyamai rekod kekalahan musim lalu walaupun saingan masih lagi berbaki 18 perlawanan.

Bagaimanapun, Guardiola berasakan pasukannya jauh lebih baik dalam sasaran untuk mempertahankan gelaran liga.

"Kami memiliki pasukan yang jauh lebih baik musim ini selepas memiliki masa yang lebih panjang untuk melakukan persiapan," katanya.

"Gerakan bola, corak bertahan, kami kini boleh menggunakan lebih banyak gerakan yang berbeza ketika bertahan dan menyerang."

Apabila ditanya apa yang membuatkan beliau kagum dengan kejayaan musim lalu, Guardiola berkata, "Persembahan konsisten yang dipamerkan oleh pemain-pemain.

"Keciciran mata adalah perkara yang tidak boleh dielakkan tetapi kami masih lagi mampu menampilkan permainan yang berkualiti.

"Memenangi gelaran atau Liga Juara-Juara, anda perlu bermain cemerlang dalam enam atau tujuh perlawanan tetapi saingan EPL sangat sengit dan ia adalah gelaran paling saya gemari."