MANCHESTER CITY 4 SWANSEA 0

Pep Guardiola menolak tanggapan bahawa pasukannya akan cepat berpuas hati selepas Manchester City melakar rekod baru Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi 15 kemenangan berturut-turut, awal pagi tadi.


Dua gol daripada David Silva, sepakan percuma Kevin De Bruyne dan serangan lewat Sergio Aguero memastikan City mendominasi Swansea City 4-0.

Kemenangan itu mempertahankan kelebihan 11 mata untuk mereka terus di puncak.

The Blues kini di landasan tepat untuk merekodkan mata terbanyak dalam EPL dan Guardiola yakin pasukannya tidak akan cepat berpuas hati.

Apabila ditanya sama ada sikap berpuas hati mungkin menyerang pasukannya, bekas pemain Sepanyol itu memberitahu Match of the Day: "Itu tidak akan berlaku.

"Kami sangat mendesak pemain kami, kami boleh kalah tetapi sikap berpuas hati, tidak pernah berlaku pada masa lalu, sekarang atau masa depan.

"Memenangi 15 perlawanan secara berturut-turut memberikan kami keyakinan. Jika orang gembira menonton aksi kami, itu hadiah terbaik," katanya.

Silva berada dalam prestasi memukau apabila memecah kebuntuan selepas 27 minit dan kemudian menokok gol ketiga.

Gol itu melebarkan rekodnya kepada lima jaringan musim ini dan Guardiola pantas menghamburkan pujian kepada pemain berusia 31 tahun itu yang sedang dalam kemuncak prestasinya.

"Saya sangat gembira dengan David," katanya.

"Kami tidak boleh meragui kualitinya tetapi pada masa lalu dia tidak menjaringkan banyak gol. dia tajam, dia berada dalam keadaan yang menakjubkan."