Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengesahkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menyediakan perjanjian baru buat penyerang mereka, Leroy Sane.

Sane merupakan penyerang muda terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) musim lalu.

Bagaimanapun, dia memulakan kempen musim ini dengan rentak perlahan.

Namun, dia masih berupaya menjaringkan satu gol di samping dua bantuan gol dalam tujuh penampilannya musim ini dengan tiga daripadanya dalam kesebelasan utama.

Guardiola berkata City berbesar hati untuk mengekalkan penyerang berusia 22 tahun itu menerusi perjanjian baru dengan kontrak Sane bakal berakhir pada 2021.

"Pasukan sedang berusaha tentang itu," kata pengurus kelahiran Sepanyol tersebut.

"Kami menilai kualiti pemain berdasarkan nilai insani, perhubungan dengan pasukan, persediaan dan pelbagai aspek lain.

"Itu adalah perkara yang penting, bukan berkenaan cara permainan semata-mata.

"Situasi turun naik adalah normal dalam bola sepak. Saya perlu membantu mereka mengatasi perkara itu. Mereka perlu faham betapa konsistensi amat penting dalam karier mereka. Selepas itu, kami akan melihat apa yang berlaku kemudian.

"Adakala kami perlu mencuba pelbagai corak permainan. Ada ketika memerlukan permainan pantas dan ada ketika mengekalkan penguasaan permainan.

"Namun, saya tidak pernah meragui kemampuan Leroy," tambahnya.

City akan meneruskan kempen Liga Perdana mereka menentang Burnley, malam nanti.